Penerbitan Man On The Run

Menurut pengarahnya, Cassius Michael Kim, beliau tertarik untuk mengarahkan filem Man On The Run kerana liputan yang cukup meluas terhadap skandal yang menimpa 1MDB.[7][8] Beliau berkata:

"Walapun ia mendapat liputan yang meluas, namun masih ramai lagi yang tidak tahu tentang perjalanan sebenar mengenai skandal ini dengan lebih mendalam. Jadi, filem ini akan memberi penerangan terhadap apa yang berlaku, terutama sekali untuk mereka yang mengikuti perkembangan kes ini".[9]

Menurut Cassius, antara yang menarik dalam filem ini apabila beliau dan pasukan penerbitan dapat mengadakan sesi temu bual bersama individu serta pihak yang mempunyai hubung kait dengan skandal 1MDB.[1][10] Menurutnya lagi, terdapat cabaran sepanjang penggambaran apabila terdapat segelintir individu yang tidak mahu ditemu bual dalam Man On The Run atas sebab-sebab tertentu. Cassius berkata, pasukan penerbitannya berjaya menemubual bekas Perdana Menteri, Najib Razak. Beliau mengakui cukup kagum dengan kesudian Najib untuk menjawab setiap soalan yang diajukan sepanjang sesi temu bual tersebut.[1]

Penerbit filem ini, Fabian W. Joseph pula berkata isi kandungan Man On The Run lebih memfokuskan kepada cerita menarik individu yang terbabit secara langsung atau tidak tanpa memburukkan sesiapa selain tidak berniat merungkai sisi buruk atau mencalar nama Malaysia di mata dunia. Menurutnya, ia diterbitkan untuk masyarakat bagi mengetahui perjalanan sebenar mengenai skandal 1MDB dengan lebih terperinci dan mendalam.[11]

Siri wawancara pertama Man On The Run bermula pada musim panas 2021 dan penerbitannya bermula pada musim bunga 2022. Pasca penerbitan selesai pada musim bunga 2023, sebelum akhirnya siap untuk ditayangkan. Selain Najib, turut ditemubual dalam filem ini ialah Clare Rewcastle Brown; Ketua Pegawai Eksekutif The Edge, Ho Kay Tat dan Bradley Hope; pemberi maklumat, Xavier Andre Justo; serta ahli politik seperti Perdana Menteri kesepuluh, Anwar Ibrahim; Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; bekas Ahli Parlimen, Tony Pua serta bekas peguam negara, Tommy Thomas.[12]

Rujukan

WikiPedia: Man On The Run https://www.sinarharian.com.my/article/282917/beri... https://www.xtra.com.my/filem/dokumentari-man-on-t... https://www.malaymail.com/news/showbiz/2023/10/13/... https://www.nst.com.my/lifestyle/groove/2023/10/96... https://www.kopiplanet.com/man-on-the-run-filem-do... https://www.straitstimes.com/life/entertainment/a-... https://www.imdb.com/title/tt18704822/ https://berita.rtm.gov.my/hiburan/senarai-berita-h... https://www.hmetro.com.my/rap/2023/10/1020844/deda... https://www.budiey.com/filem-dokumentari-man-on-th...